Followers

Jangan cepat mengalah

Monday, May 4, 2009




Bersabda Rasulullah saw:

Orang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada orang mukmin yang lemah, dan pada masing-masing ada kebaikannya. Berusahalah meraih apa-apa yang bermanfaat bagimu dan pohonlah pertolongan Allah dan jangan sekali-kali bersikap lemah. Jika engkau ditimpa sesuatu maka jangan engkau mengatakan “Seandainya aku melakukan (ini dan itu) tentu akan terjadi begini dan begitu” tetapi katakanlah “Allah telah mentaqdirkan dan apa yang dikehendakiNya pasti terjadi” kerana (ucapan) ‘seandainya/kalau/jika’ itu membuka perbuatan syaitan
Hadits shahih riwayat Muslim

Setiap manusia lazimnya mempunyai pelbagai impian yang ingin dikecap .….. ingin berjaya, ingin hidup bahagia dan pelbagai lagi kehendak dan keinginan kita sebagai seorang manusia. Namun, tidak semua keinginan dan impian kita akan tercapai. Ada ketikanya kita berhasil mendapat apa yang dihajatkan dan ada ketikanya kita gagal. Kegagalan sememangnya pahit tetapi ia bukanlah satu titik akhir. Kegagalan adalah satu ilmu dalam mendewasakan seseorang itu menempuh perjuangan hidupnya.

Ajaran Islam mendidik manusia supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu yang bermanfaat tanpa mengenal erti putus asa dan hendaklah kita memohon pada Allah kerana hanya Dialah yang dapat menjadikan impian kita satu kenyataan. Dan hasil yang diperoleh dengan sebab usaha dan perbuatan kita itu, hendaklah kita terima sepenuhnya kerana demikianlah taqdir Allah.

Sekiranya Allah berikan kejayaan, bersyukurlah padaNya dan berusahalah ke arah yang lebih baik. Sekiranya gagal, jangan kita berputus asa dan bersikap lemah. Terimalah ketentuanNya dengan lapang dada. Jangan ada walau sekelumit nada-nada menafikan qadarNya. Sesungguhnya itulah bisikan syaitan dalam menyimpangkan anak Adam dari kebenaran. Teruslah berusaha bersungguh-sungguh, selidik kelemahan, kekurangan, belajar dari kesilapan yang lalu dan panjatkanlah permohonan padaNya. Sesungguhnya doa itu dapat mengubah taqdir. Telah bersabda Rasulullah saw:

Barangsiapa dibukakan pintu doa untuknya bererti telah dibukakan pula untuknya segala pintu rahmat. Dan tiada dimohonkan kepada Allah yang lebih disukaiNya selain dimohonkan a’fiyah. Doa itu memberi manfaat terhadap yang telah diturunkan dan yang belum diturunkan. Dan tidak ada yang dapat menolak ketetapan Allah kecuali (dengan sebab) doa. Sebab itu, berdoalah kamu sekalian.
Riwayat Tirmizi.

Apabila kita ditimpa sesuatu musibah, kemalangan atau kegagalan maka wajib atas kita redha akan ketentuan yang telah Allah tetapkan kepada kita. Redha itu bukan sekadar mengucapkan “Aku redha atas ujian Allah ini” atau “Aku pasrah” akan tetapi kemudiannya kita menuturkan kata-kata yang berbaur penafian kepada taqdir Allah …… seolah-olah seandainya kita dapat mengundurkan kembali masa dan mengubah tindakan kita, keadaan akan menjadi sebaliknya.


Lazim kita mendengar ayat-ayat sebegini;
“Kalau dulu aku belajar bersungguh-sungguh, tak lah aku jadi begini.”
“Kalaulah aku buat macam ni tadi, tak la jadi begini.”
“Kalau bukan sebab anjing ni tadi, rumah aku tentu dah dimasuki pencuri.”

Renungkan firman Allah: Al-Hadid ayat 22-23 [57:22-23]:

Tiadalah malapetaka (musibah) di bumi dan tiada pula pada dirimu melainkan (telah termaktub) dalam kitab (lauh-mahfuz) sebelum Kami mengadakannya. Sungguh demikian itu mudah bagi Allah. (Kami katakan demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita/berputus asa atas sesuatu yang telah luput daripadamu dan supaya jangan kamu bersukaria kerana sesuatu yang kamu peroleh. Allah tiada mengasihi tiap-tiap orang yang sombong dan bermegah-megah

Janganlah kita menyalahkan takdir apabila sesuatu perkara buruk berlaku atau meletakkan tanggungjawab kepada takdir dan kita hanya berserah sahaja tanpa usaha. Sesungguhnya kita diberi akal dan kita diberikan agama untuk menjadi pedoman dalam menentukan arah tuju kehidupan di dunia ini. Takdir itu sesungguhnya satu ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah tetapi Allah memberikan kita pilihan untuk memilih jalan-jalan yang kita sukai. Firman Allah: Surah Al-Insaan ayat 2-3 [76:2-3]

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat. Sesungguhnya Kami telah menunjukkan padanya jalan, sama ada menjadi orang yang bersyukur atau orang yang kafir

Seorang yang melarat hidupnya maka perlulah dia berusaha ke arah kehidupan yang lebih baik akan tetapi jalan usahanya itu mestilah dengan menurut perintah Allah bukan dengan melanggar perintahNya. Jika kita mencuri untuk mengubah hidup dari susah kepada senang maka itu juga adalah takdir Allah tapi kitalah yang memilih jalan tersebut. Sememangnya tanpa ikhtiar itu pun adalah takdir tetapi ia tidak melaksanakan sunnah Rasulullah saw dalam menerima takdir. Maka jika jalan yang ia lalui itu salah, salah jugalah pegangannya. Allah akan memudahkan mengikut takdirNya, jika takdirnya ahli neraka maka dimudahkan jalan-jalan ke arah neraka. Oleh itu berusahalah berikhtiar untuk mencari jalan syurga dan berdoalah agar kita diselamatkan olehNya. Sesungguhnya itu baru taqdir sahaja, yang masih boleh diubah menurut kehendak Allah. Firman Allah: Al-Anfal ayat 53 [8:53]:

Demikian itu sebabnya kerana Allah sekali-kali tidak mengubah nikmat yang dianugerahkanNya kepada suatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar Maha Mengetahui

Tiada manusia di dunia ini yang mengetahui taqdirnya dan kerana itulah manusia diperintahkan untuk berusaha – berusaha mencari redha Allah dan mohonlah padaNya supaya diberikan ketentuan yang baik di dunia dan di akhirat. Tidak perlulah kita mencari-cari rungkaian atau tafsiran di sebalik qadar dengan menggunakan akal fikiran kita, cukuplah kita beriman sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Rasulullah saw. Elakkanlah perdebatan tentang qadar kerana itu adalah larangan Rasulullah saw, apa yang lebih baik adalah kita belajar memahami qadar ini berpandukan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw dan bercakaplah sekadar ilmu pengetahuan yang kita peroleh sahaja manakala yang kita tidak faham, kita berdiam diri. Inilah yang dianjurkan oleh Islam atas bab beriman pada qadar.

Ingatlah! Sesungguhnya kehidupan dunia sememangnya satu ujian, ada yang hidup dalam kemiskinan penuh penderitaan, ada pula yang hidup bermandikan kekayaan kesenangan, ada yang berhempas-pulas siang malam untuk mencari sesuap nasi namun tetap berkesudahan dengan kemiskinan, ada pula yang hanya bersenang-lenang di rumah namun semakin hari semakin bertambah kekayaannya. Firman Allah: Surah Al-Anbiyaa’ ayat 35 [21:35]
Tiap-tiap yang bernyawa pasti merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan/ujian. Dan hanya kepada Kami kamu dikembalikan

Telah bersabda Rasulullah saw.:

Siapa yang Allah berkehendakkan limpahkan kebaikan padanya maka ia akan diberi cubaan
Riwayat Bukhari dan Muslim


0 comments:

tetamu

About This Blog

Lorem Ipsum

aku suka ikan2 nih..bg mkn sat, klik ja dlm akuarium tu

monyet aku

dolphin aku

  © Free Blogger Templates Nightingale by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP